Suatu ketika
Imam Ghazali bersembahyang jemaah dengan adiknya. Imam Ghazali menjadi Imam
manakala adiknya menjadi makmum. Tiba-tiba semasa bersembahyang, adik Imam
Ghazali mufarakah (keluar daripada menjadi makmum) dan bersembahyang sendirian.
Setelah selesai menunaikan sembahyang Imam Ghazali terus bertanya kepada
adiknya:
“Mengapa ketika bersembahyang engkau meninggalkan aku dan
bersembahyang sendirian” Lantas adiknya menjawab; “Bagaimanakah aku hendak
bersembahyang denganmu. Aku lihat tubuhmu penuh bersalut darah. Lantaran itulah
aku bermufarakah dan sembahyang sendirian”. Mendengar jawapan adiknya itu
Imam Ghazali terus berfikir dan lantas teringat bahawa memang benar, pada
ketika itu beliau sedang menulis tentang permasalahan haidh. Dan, memang benar
juga, terdapat satu saat semasa beliau menunaikan sembahyang pemikiran beliau
terbawa-bawa oleh apa yang sedang beliau tulis itu. Dan saat itu jugalah Allah
zahirkan apa yang sedang beliau fikirkan itu ke mata adiknya sehingga adiknya
melihat tubuh badannya dipenuhi dengan darah. Imam Ghazali terkejut lantas
bertanya kepada adiknya; “Bagaimanakah kamu berupaya untuk melihat hal yang
ghaib? Beritahulah kepadaku dari siapa kamu belajar ilmu ini”.
Adiknya kemudian menjawab; “Engkau tidak layak belajar dengannya. Engkau
orang yang masyhur, sedangkan guruku ini orang biasa sahaja”
Imam
Ghazali terus mendesak sehingga akhirnya adik beliau bersetuju untuk membawanya
berjumpa dengan gurunya itu. Di pasar, mereka mendatangi seorang penjual
daging. Lalu adiknya memberitahu itulah guruku. Imam Ghazali terus berkata
kepada penjual daging; ”Tuan, saya mohon untuk belajar ilmu dengan Tuan”.
Penjual daging menggelengkan kepalanya lalu berkata; “Aku tidak ada ilmu
untuk mengajar kamu”. Imam Ghazali merayu sekali lagi; “Ajarlah saya.
Ajarkanlah saya ilmu yang Tuan tidak ada itu”. Penjual daging tetap enggan
menunaikan keinginan Imam Ghazali itu. Akhirnya Imam Ghazali berkata kepada
penjual daging tersebut; “Ajarlah saya. Saya serahkan diri saya kepada Tuan
seumpama mayat menyerahkan diri kepada si tukang mandi”
Penjual
Daging kemudian berkata; “Baiklah, tanggalkanlah jubah kebesaran kamu itu
(jubah yang dipakai Imam Ghazali kerana beliau merupakan orang tertinggi di
Universiti Nizamiyyah). Sapulah meja tempat aku memotong dan menjual daging ini
dengan jubahmu itu.”. Tanpa berlengah lagi Imam Ghazali terus menunaikan
kehendak penjual daging tersebut tanpa sedikitpun merasa terkilan. Setelah
selesai, beliau berkata lagi kepada penjual daging; “Ajarkanlah aku ilmu”.
Penjual daging kemudian berkata; ”Baiklah, esok datanglah ke rumahku selepas
Subuh”. Tepat selepas Subuh keesokan harinya Imam Ghazali sudah sedia
menanti si penjual daging di hadapan rumah. Sebaik sahaja melihat Imam Ghazali
beliau terus menyuruhnya memotong rumput di kawasan rumah. Imam Ghazali terus
akur tanpa terdetik di dalam hatinya sedikitpun rasa terhina. Selesai
menyiapkan tugas yang dipinta oleh penjual daging, Imam Ghazali pun mendatangi
beliau, lalu mengulangi kata-kata; ”Ajarkanlah aku ilmu”. Penjual daging
berkata; ”Baiklah, esok datanglah ke rumahku selepas Subuh”. Sama seperti
hari sebelumnya, sebaik-baik sahaja selepas Subuh Imam Ghazali sedia menunggu
di hadapan rumah penjual daging. Melihatkan Imam Ghazali, penjual daging
meminta pula beliau mencuci longkang di sekeliling rumahnya. Imam Ghazali tetap
taat menuruti perintah penjual daging. Setelah selesai, Imam Ghazali berkata
kepada penjual daging; ”Wahai Tuan, kerja yang Tuan suruh telah
dilaksanakan. Ajarkanlah aku ilmu” Penjual daging berkata lagi; ”Baiklah,
datanglah kembali selepas Subuh esok”. Keesokan harinya hal yang sama juga
berlaku. Kali ini penjual daging meminta Imam Ghazali menimba najis dari tandas
beliau. Tugas yang ini juga dilaksanakan tanpa terselit sedikitpun perasaan
terhina dalam hati Imam Ghazali.Apabila selesai penjual daging tersebut
berkata; “Segala ilmu yang kamu mahu telah kamu dapat. Pulanglah.”
Dalam perjalanan pulang Imam Ghazali terkejut kerana
mendapati pandangannya telah tersingkap dan beliau dapat melihat hal-hal yang
ghaib.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum.. Temen2 jangan lupa Komentar na ^_^