Pages

Ads 468x60px

Hukum Islam pada aktifitas perkemahan yang bukan mahramnya

KELUAR beramai-ramai dengan golongan bukan mahram dengan objektif yang sudah dijelaskan secara prinsipnya adalah harus. Perkara yang dilarang keras oleh Islam sebenarnya adalah percampuran bebas.

Memang tidak dinafikan Nabi SAW pernah melarang wanita daripada berjalan tanpa mahram dengan sabda Baginda yang bermaksud : "Tidak halal bagi seseorang wanita yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat untuk bermusafir dalam jarak sehari melainkan bersama mahram. (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, Ibn Majah dari Abi Hurairah).

Namun kita haruslah memahami bahawa larangan Rasulullah terhadap wanita untuk keluar tanpa disertai oleh mahram, disebabkan motifnya, apabila ia mengundang fitnah dan maksiat. Larangan itu bukan sekadar difahami menerusi teksnya semata-mata sebaliknya kita perlu melihat dan mengkaji maksud itu secara mendalam.

Jika dilihat, larangan itu disebabkan kebimbangan terjadinya gangguan terhadap wanita atau rangsangan melakukan dosa, atau timbulnya perkara negatif apabila pemergiannya itu tidak disertai mahramnya. Akan tetapi apabila perjalanannya itu disertai golongan yang diyakini ketelusan imannya dan berada dalam kumpulan yang diyakini akan menjalankan tanggungjawab menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, maka Islam tidak melarangnya.
Itulah sebabnya, dalam sirah Nabi apabila dikaji, kita pasti akan menemui bukti yang banyak menunjukkan pembabitan golongan wanita dalam perjuangan bersama Nabi SAW termasuk peperangan. Wanita yang terbabit dalam peperangan bersama sahabat yang lain ternyata sudah memberikan sumbangan dan menjalankan tanggungjawab hebat seperti merawat pesakit, menyediakan air dan memasak makanan.

Selain itu mereka juga berperanan memberikan sokongan moral kepada umat Islam. Bahkan ulama juga membenarkan wanita ketiadaan mahram untuk mengerjakan haji bersama dengan kumpulan manusia yang dipercayai agamanya.

Oleh itu pemergian anak perempuan ataupun golongan wanita dalam sesuatu rombongan menerusi perjalanan yang melebihi dua marhalah adalah dibenarkan dengan syarat bersama-sama dalam rombongan itu orang yang diyakini kebaikan dan agamanya.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.. Temen2 jangan lupa Komentar na ^_^