Pages

Ads 468x60px

Tahlilan dan Doa selamat Menurut Mazhab Imam Syafi'e


BAB KEDUA
DOA SELAMAT UNTUK KEMATIAN
 

DOA selamat boleh digambarkan dengan berkumpul bersama-sama (keluarga dan masyarakat sekampung atau lain-lain) dengan dihidangkan makanan oleh keluarga yang mengalami kematian.  Ianya dilakukan di rumah keluarga yang mengalami kematian pada hari kematian atau hari kedua, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus atau sebagainya.
 Sebenarnya, apabila diperiksa, dirungkai dan diperhatikan satu persatu di dalam kitab-kitab Safiyah sama ada pada kitab Feqah, tafsir mahu pun syarah-syarah hadith, amalan doa selamat telah ditemui di situ bahawa ianya adalah amalan yang dilarang atau dengan kata lain ialah haram.
 Hal ini sebenarnya belum diketahui oleh banyak pengikut mazhab Syafie di kalangan kita sendiri.  Jika ada yang tahu, tentu jumlahnya hanya segelintir sahaja.  Oleh itu, mari kita ikuti bersama bagaimana pandangan ulama-ulama mazhab Syafie di dalam hal ini
.

1. Di dalam kitab Feqh I’anatut Talibin telah menyatakan,
 
 “Ya, apa-apa yang dilakukan oleh orang iaitu berkumpul di rumah keluarga mayat dan dihidangkan makanan untuk perkumpulan itu, ia adalah termasuk bid’ah mungkarat (bid’ah yang diengkari agama).  Bagi orang yang membanterasnya akan diberi pahala”.
 (I’anatut Talibin, syarah Fathul Mu’in : juz 2, hal 145)
 
2. Imam Syafie sendiri tidak menyukai amalan berkumpul di rumah kematian sepertimana yang telah beliau kemukakan di dalam kitab al-Umm,
 
 “Aku tidak sukakan mat’am iaitu berkumpul (di rumah keluarga mayat) meskipun di situ tiada tangisan kerana hal tersebut malah akan menimbulkan kesedihan”.
 (As-Syafie al-Umm : juz 1; hal 248)
 
 
3. Selanjutnya di dalam kitab I’anatut Talibin juga ada menyebut lagi,
 
 “Dan perkara yang sudah menjadi kebiasaan iaitu keluarga mayat menghidangkan makanan untuk para jemputan yang berkumpul, adalah satu perkara bid’ah yang tidak disukai agama (Islam).  Hal ini samalah seperti berkumpul di rumah keluarga kematian itu sendiri kerana terdapat hadith sahih yang telah diriwayatkan oleh Jarir r.a yang berkata, “Kami menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga kematian yang menghidangkan makanan untuk jamuan para jemputan adalah sama dengan hukum niyahah (meratapi mayat) iaitu haram”.
 (I’anatut Talibin, juz 2, hal 146)
 
 
4. Pengarang kitab I’anah juga ada mengambil keterangan sahih di dalam kitab Bazzaziyah iaitu,
 
 “Dan ianya dibenci, menyelenggarakan makanan pada hari pertama (kematian), hari ketiga, sesudah seminggu dan juga memindahkan makanan ke tanah kubur secara bermusim-musim”.
 (I’anatut Talibin, juz 2, hal 146)
 
 
5. Di dalam kitab Fiqh Mughnil Muhtaj ada menyebutkan,
 
 “Adalah, keluarga kematian yang menyediakan makanan dan orang ramai berkumpul di rumahnya untuk menjamu, merupakan bid’ah yang tidak disunatkan, dan di dalam hal ini Imam Ahmad telah meriwayatkan hadith yang sahih daripada Jarir bin Abdullah, berkata, “Kami menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga kematian dan keluarga tersebut menghidangkan makanan untuk menjamu para hadirin, adalah sama hukumnya seperti niyahah (meratapi mayat) iaitu haram”.
 (Mughnil Muhtaj, juz1, hal 268)
 
 
6. Di dalam kitab Fiqh Hasyiyatul Qalyubi ada menyatakan,
 
 “Syeikh ar-Ramli ada berkata, “Di antara bid’ah yang mungkarat (yang tidak dibenarkan agama), yang dibenci apabila diamalkan sebagaimana yang telah diterangkan di dalam kitab ar-Raudhah, iaitu apa-apa yang telah dilakukan oleh orang yang dinamakan “kifarah” dan hidangan makanan yang disediakan oleh tuan rumah kematian untuk jamuan orang yang berkumpul di rumahnya sama ada sebelum atau sesudah kematian, serta penyembelihan di tanah kubur”.
 (Hasyiyatul Qalyubi, juz 1, hal 353)
 
 
7. Di dalam kitab Fiqh karangan imam Nawawi iaitu kitab al-Majmu’ syarah Muhazab, ada menyebutkan,
 
 “Penyedian makanan yang dilakukan oleh keluarga kematian dan berkumpulnya orang yang ramai di rumahnya, adalah tidak ada nasnya sama sekali, yang jelasnya semua itu adalah bid’ah yang tidak disunatkan”.
 (an-Nawawi, al-Majmu’ syarah Muhazab, juz 5, hal 286)
 
8. Pengarang kitab I’anatut Talibin juga turut mengambil keterangan di dalam kitab al-Jamal syarah al-Minhaj yang berbunyi seperti berikut,
 
 “Dan di antara bid’ah mungkarat yang tidak disukai ialah sesuatu perkara yang sangat biasa diamalkan oleh individu iaitu majlis menyampaikan rasa duka cita (kenduri arwah), berkumpul dan membuat jamuan majlis untuk kematian pada hari keempat puluh, bahkan semua itu adalah haram”.
 (I’anatut Talibin, juz 2, hal 145-146)
 
 
9. Selanjutnya, pengarang kitab tersebut juga ada mengambil lagi keterangan daripada kitab Tuhfatul Muhtaj syarah al-Minhaj yang berbunyi,
 
 “Sesuatu yang sangat dibiasakan oleh seseorang dengan menghidangkan makanan untuk mengundang orang ramai ke rumah keluarga kematian merupakan bid’ah yang dibenci sebab ada hadith yang telah diriwayatkan oleh Jarir yang berkata, “Kami (para sahabat nabi SAW) menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga kematian dan keluarga tersebut menghidangkan makanan untuk majlis itu adalah sama dengan hukum niyahah iaitu haram”.
 (I’anatut Talibin, juz 2, hal 145-146)
 
 
10. Pengarang kitab tersebut mengambil lagi fatwa dari mufti mazhab Syafie, Ahmad Zaini bin Dahlan,
 
 “Dan tidak ada keraguan sedikit pun bahawa mencegah umat daripada perkara bid’ah mungkarat ini sama seperti halnya menghidupkan sunnah nabi SAW.  Mematikan bid’ah seolah-olah membuka pintu kebaikan seluas-luasnya dan menutup pintu keburukan serapat-rapatnya kerana orang lebih suka memaksa-maksa diri mereka berbuat hal-hal yang akan membawa kepada sesuatu yang haram”.
 (I’anatut Talibin, juz 2, hal 145-146)
 
 
11. Dan di dalam kitab Fiqh Ala Mazahibil Arba’ah menyatakan,

“Dan di antara bid’ah yang dibenci agama ialah sesuatu yang dibuat oleh individu iaitu menyembelih haiwan-haiwan di tanah kubur tempat mayat di tanam dan menyediakan hidangan makanan  yang diperuntukkan bagi mereka yang datang bertakziah”.
(Abdurrahman al-Jaza’iri, al-Fiqhu Ala Mazahibil Arba’ah, juz 1, hal 539)

 Demikianlah di antara pendapat-pendapat para ulama Syafi’iyah berkenaan doa selamat atau kenduri arwah.  Mereka telah bersepakat bahawa amalan tersebut adalah bid’ah mungkarat atau bid’ah yang dibenci.
 Dasar hukum yang mereka ambil (mengikut kata sepakat atau ijma’ para sahabat nabi SAW) ialah haram hukumnya mengamalkan amalan tersebut.
Bukankah lebih baik jika tuan rumah kematian menggantikan kenduri doa selamat untuk kematian atau lebih mudah disebut sebagai kenduri arwah kepada satu amalan bersedekah kepada ahli faqir dan miskin.  Sebabnya ialah, jika kenduri tersebut diniatkan untuk bersedekah makanan kepada orang yang menjamu hidangannya, kebanyakan orang yang hadir di dalam jamuan tersebut tentunya di kalangan orang yang berkemampuan dan sudah tentu sedekah tersebut kurang bererti bagi mereka atau tidak bererti sama sekali.
 Tambahan pula, jika amalan tersebut diniatkan sebagai amalan bersedekah, maka akan terjadilah satu amalan yang mencampuradukkan antara yang hak dan yang batil kerana amalan tersebut melibatkan dalam dua hal iaitu, ia diniatkan sebagai bersedekah iaitu amalan yang disukai agama dan dalam masa yang sama, berkumpul di dalam satu majlis jamuan yang telah diadakan di rumah kematian pula adalah satu perkara yang amat dilarang oleh agama atau disebut haram.  Mengirimkan pahala bacaan tahlil itu juga merupakan satu amalan yang sia-sia.  Oleh itu, kedua-duanya sama sekali tidak boleh dilakukan kerana telah mencampuradukkan yang hak dan yang batil.


No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.. Temen2 jangan lupa Komentar na ^_^