BAB PERTAMA
MENGIRIM PAHALA BACAAN
KEPADA MAYAT
BERTAHLIL merupakan satu perbuatan bacaan yang dilakukan untuk dikirimkan kepada seseorang yang meninggal dunia atau roh mayat. Ia merupakan satu tradisi tetap yang diamalkan di kalangan masyarakat kita pada hari ini.
Lazimnya, bacaan yang diucapkan semasa bertahlil ialah sedikit daripada ayat-ayat al-Qur’an yang tertentu, kalimah La Ilaha Illa Allah atau Subhanaallah atau lain-lain dengan niat bacaan-bacaan tersebut dapat dihadiahkan atau dikirimkan kepada orang yang meninggal dunia atau roh mayat di kalangan orang Islam.
Terdapat seperkara yang belum diketahui oleh banyak di kalangan orang Islam sama ada yang benar-benar mengikut mazhab imam Syafie atau mereka yang hanya mengikut-ikut sahaja, adalah amalan bertahlil dan doa selamat yang kononnya dikirimkan untuk seseorang yang mati sebenarnya bertentangan dengan banyak pendapat di kalangan ulama-ulama yang bermazhab imam Syafie. Ini termasuklah imam Syafie sendiri yang tidak sependapat atau tidak setuju dengan amalan bertahlil dan doa selamat. Terdapat juga ulama-ulama yang berpendapat amalan tersebut boleh dilakukan, namun pandangan tersebut adalah sangat lemah dan amat bertentangan dengan ajaran al-Qur’an (pada surah an-Najm ayat 39 dan sunnah nabi serta para sahabatnya).
Di bawah ini penulis cuba membawakan sebahagian daripada pendapat ulama Safiyah berikutan masalah amalan tersebut. Pendapat-pendapat ini telah diambil dari kitab-kitab tafsir, kitab-kitab feqah dan kitab-kitab syarah hadith. Pendapat tersebut juga merupakan pegangan kuat bagi penulis.
1. Pendapat Imam Syafie rahimahullah.
Imam Nawawi menyebutkan di dalam kitabnya, Syarah Muslim iaitu,
“Adalah, bacaan al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada mayat), maka pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie ialah amalan tersebut tidak akan sampai kepada mayat. Sebagai dalilnya, imam Syafie dan para pengikutnya mengambil daripada firman Allah SWT (yang bermaksud), “Dan seseorang itu tidak akan memperoleh melainkan pahala daripada daya usahanya sendiri”. Serta dalam sebuah sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah segala amal usahanya kecuali tiga daripada amalnya, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak (lelaki atau perempuan) soleh yang berdoa untuk simati”
(an-Nawawi, Syarah Muslim : juz 1 hal; 9)
Lagi daripada imam Nawawi di dalam kitab Taklimatul Majmu’, Syarah Mazhab ada mengatakan,
“Adalah, membaca al-Qur’an dan mengirimkannya sebagai pahala untuk seseorang yang mati dan menggantikan sembahyang untuk seseorang yang mati atau sebagainya adalah tidak sampai kepada mayat yang dikirimkan menurut Jumhurul Ulama dan imam Syafie. Keterangan ini telah diulang beberapa kali oleh imam Nawawi di dalam kitabnya, Syarah Muslim”
(as-Subuki, Taklimatul Majmu’, Syarah Muhazab: juz 10, hal; 426)
Menggantikan sembahyang untuk si mati bermaksud menggantikan sembahyang yang telah ditinggalkan oleh si mati semasa hidupnya.
2. Al-Haitami di dalam kitabnya, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, berkata sebagai,
“Bagi seseorang mayat, tidak boleh dibacakan kepadanya apa-apa pun berdasarkan keterangan yang mutlak dari ulama Mutaqaddimin (terdahulu) iaitu baca-bacaan yang disedekahkan kepada si mati adalah tidak akan sampai kepadanya kerana pahala bacaan tersebut pembaca sahaja yang menerimanya. Pahala yang diperolehi hasil daripada sesuatu amalan yang telah dibuat oleh amil (orang yang beramal) tidak boleh dipindahkan kepada orang lain berdasarkan sebuah firman Allah yang berbunyi, “Dan manusia tidak memperolehi kecuali pahala dari hasil usahanya sendiri”.
(Al-Haitami, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyah : juz 2, hal; 9)
3. Imam Muzani, di dalam Hamisy al-Umm, juga berkata,
“Rasulullah SAW telah memberitahu sebagaimana yang telah pun diberitakan dari Allah bahawa dosa seseorang akan menimpa dirinya sendiri seperti halnya sesuatu amal yang telah dikerjakan adalah hanya untuk dirinya sendiri bukan untuk orang lain dan ia tidak dapat dikirimkan kepada orang lain”.
(Tepi al-Umm as-Syafie : juz 7, hal ; 269)
4. Imam al-Khazin di dalam tafsirnya mengatakan,
“Dan yang masyhur di dalam mazhab Syafie adalah, bahawa bacaan al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada mayat) adalah tidak dapat sampai kepada mayat yang dikirimkan”
(Al-Khazin, al-Jamal : Juz 4, hal ; 236)
5. Di dalam tafsir Jalalain telah disebutkan seperti berikut,
“Maka seseorang tidak akan memperolehi pahala sedikit pun dari hasil usaha orang lain”.
(Tafsir Jalalain : juz 2, hal ; 197)
6. Ibnu Katsir di dalam tafsirnya, Tafsirul Qur’anil Azim telah menafsirkan surah an-Najm ayat 39 sebagai,
“Iaitu, sebagaimana dosa seseorang tidak boleh menimpa ke atas orang lain, begitu juga halnya seseorang manusia juga tidak boleh memperolehi sebarang pahala melainkan dari hasil usaha amalannya sendiri. Dan daripada surah an-najm ayat 39 ini, Imam Syafie r.a dan para ulama yang mengikutnya telah mengambil kesimpulan bahawa, sebarang pahala bacaan yang dikirimkan kepada mayat adalah tidak akan sampai kepadanya kerana amalan tersebut bukan daripada hasil usahanya sendiri. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW tidak pernah menganjurkan umatnya agar mengamalkan (pengiriman tahlil atau doa selamat). Baginda juga tidak pernah memberikan bimbingan sama ada dengan nas atau berupa isyarat di dalam hal tersebut. Terdapat juga di kalangan para sahabat ada yang melakukan amalan tersebut tetapi sekiranya amalan tersebut memang satu amalan yang digalakkan, tentunya mereka telah mengamalkannya lebih dari dulu lagi sedangkan amalan korban (mendekatkan diri kepada Allah) juga terdapat batasan-batasan nas yang terdapat di dalam di dalam al-Qur’an dan sunnah Rasul SAW dan tidak boleh dipalingkan dengan qias-qias atau pendapat-pendapat ulama”.
Demikianlah beberapa pendapat ulama Safiyah yang menyentuh tentang amalan bertahlil dan pengiriman pahala bacaan kepada si mati. Namun begitu, ternyata pendapat-pendapat tersebut telah bersepakat dan mempunyai satu pandangan yang teguh iaitu mengirimkan pahala bacaan al-Qur’an kepada si mati adalah tidak akan sampai kepada si mati atau roh yang dikirimkan.
Allahualambissawab...
Tambuk wahabi neh.. Bebawa nama sekumpul
ReplyDelete