Pages

Ads 468x60px

Tahlilan dan Doa selamat Menurut Mazhab Imam Syafi'e


BAB KETIGA
MENGHORMATI KELUARGA KEMATIAN
 

MENURUT sunnah nabi SAW, jiran tetangga hendaklah menghormati ahli keluarga yang sedang mengalami kematian dengan membantu seperti menghadiahkan kepada mereka makanan atau lain-lainnya agar keluarga tersebut merasa ia dihormati dan seolah-olah meringankan bebanan yang dialaminya.  Hal ini benar-benar dianjurkan agama Islam lebih-lebih lagi keluarga tersebut lahir daripada orang-orang yang tidak berkemampuan.
 Imam Syafie berkata di dalam kitabnya al-Umm yang berbunyi,
“Dan aku sangat suka kepada para jiran tetangga dan kaum kerabat keluarga yang mengalami kematian menghadiahkan makanan yang mengenyangkan untuk keluarga kematian sama ada pada hari pertama kematian atau pada malamnya.  Amalan demikianlah adalah sunnah”.
(as-Syafie, al-Umm, juz1, hal 247)

Seterusnya, imam Syafie mengatakan bahawa hal tersebut ada disentuh di dalam satu riwayat daripada Abdullah bin Ja’far r.a,
“Abdullah bin Ja’far berkata, “Apabila sampai sahaja berita Ja’far terbunuh, nabi SAW bersabda, “Hendaklah kamu membuatkan makanan untuk keluarga Ja’far kerana mereka telah ditimpa kesusahan”.
(HR as-Syafie, al-Umm, juz1 hal 247)

 Hadith ini menunjukkan bahawa mengikut sunnah nabi SAW, kaum muslimin iaitu sama ada kaum kerabat daripada keluarga yang mengalami kematian atau jiran tetangga hendaklah berusaha menghiburkan keluarga kematian yang sedang mengalami kesedihan dengan cara memberikan bantuan yang berupa makanan atau selainnya lebih-lebih lagi jika keluarga tersebut adalah daripada golongan miskin atau tidak berkemampuan.
 Oleh sebab itu, imam Syafie r.a juga menganjurkan kepada kaum muslimin agar mengamalkan ajaran yang mulia ini, kerana ianya sesuai dengan sunnah nabi SAW.
 Namun begitu, tradisi masyarakat pada hari ini melakukan amalan yang sebaliknya bertentangan dengan anjuran yang telah disarankan oleh imam Syafie.  Mereka juga masih lagi mengamalkan tradisi bertahlil, doa selamat, kenduri arwah hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus dan lain-lainnya dengan di samping itu menyediakan hidangan makanan untuk tetamu yang membacakan tahlil dan doa.  Sebenarnya amalan itu adalah salah dan amat tidak dibenarkan oleh para ulama Syafi’iyah yang berpedomankan kitab Allah dan sunnah Rasulullah SAW.
 Sebagai kesimpulannya,
1. Menurut pendapat para ulama dari kalangan mazhab Syafi’e (Syafi’iyah), bertahlil, doa selamat dan kenduri arwah yang dikirimkan kepada si mati adalah tidak sampai kepada roh si mati.
 
2. Pendapat-pendapat tersebut berdasarkan firman Allah di dalam al-Qur’an surah an-Najm, ayat 39 yang memberi maksud, manusia tidak akan memperoleh pahala kecuali daripada hasil amalannya sendiri.
 
3. Segala amalan bertahlil, doa selamat dan kenduri arwah yang dikirimkan kepada roh si mati tidak akan sampai kepadanya bahkan sia-sia sedangkan Islam amat melarang umatnya berbuat perkara yang sia-sia.
 
4. Majlis bertahlil, doa selamat dan kenduri arwah atau berkumpul di rumah keluarga si mati dengan disediakan hidangan makanan untuk para tetamu adalah dilarang, mengikut para ulama yang bermazhab imam Syafie.  Malah ada di antara mereka mengatakan bahawa ia adalah Bid’ah Mungkarat iaitu bid’ah yang tidak diakui Islam.  Ada juga yang mengatakan bahawa ia adalah Bid’ah Ghairu Mustahab iaitu bid’ah yang tidak pernah disunatkan dan segelintir daripada ulama tersebut mengatakan amalan tersebut adalah Bid’ah Makruhah iaitu bid’ah yang dibenci.
 
5. Segala amalan Bid’ah Mungkarat adalah haram.
 
6. Bertahlil dan kenduri arwah di rumah keluarga si mati yang menyediakan makanan hukumnya haram berdasarkan sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh seorang sahabat nabi SAW, Jarir bin Abdullah yang berkata, “Kami (para sahabat nabi SAW) menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga si mati di samping dihidangkan makanan adalah sama hukumnya dengan niyahah iaitu haram”.
 
7. Hukum haram berkumpul di rumah keluarga si mati dengan dihidangi makanan telah pun disepakati oleh para ijma’ ulama dan para sahabat nabi SAW kerana hadith daripada Jarir r.a yang berkata, “Kami (para sahabat nabi SAW) menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga si mati di samping dihidangkan makanan adalah sama hukumnya dengan niyahah iaitu haram”. Tidak ada seorang pun di antara mereka yang membantahnya.
 
8. Menurut sunnah nabi SAW, jika terdapat salah sebuah keluarga yang ditimpa kematian daripada anggota keluarganya, hendaklah kaum muslimin sama ada di kalangan kaum kerabat atau sebagai jiran mereka, memberikan kehormatan dengan menghadiahkan bahan makanan lebih-lebih lagi jika keluarga tersebut lahir daripada golongan yang tidak berkemampuan atau miskin.
 
9. Dapat dikatakan di sini, bertahlil, doa selamat dan kenduri arwah yang sering diamalkan oleh masyarakat pada hari ini adalah satu amalan yang amat bertentangan dengan ajaran Islam iaitu melalui al-Qur’an dan sunnah nabi SAW.
 
10. Walau bagaimanapun, kaum muslimin seharusnya menjalinkan ukhuwah Islamiyah dan memberikan sikap toleransi kepada sesama muslim yang lain meskipun mereka mengamalkan bermacam amalan tradisi.  Kaum muslimin juga digalakkan supaya selalu membaca dan meneliti serta berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan agar dapat meluaskan pandangan dan pengetahuan supaya dapat memilih di mana yang hak dan yang batil serta tidak hanya mengikut-ikut di dalam bermazhab.  Dengan demikian, tentunya tali ikatan ukhuwah Islamiyah dapat dijalinkan dengan lebih erat dan kukuh.






Hamdani Sekumpul Blogs
 

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.. Temen2 jangan lupa Komentar na ^_^